Najib, netizen kritik Dr.
KUALA LUMPUR 15 Okt. - Rata-rata netizen mengkritik kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berhubung kajian yang sedang dilakukan kementerian berhubung isu warna stoking sekolah.
Majoriti netizen menganggap isu tersebut terlalu remeh untuk dipandang serius oleh individu yang bergelar menteri dan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Hal tersebut turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan Mazlee ‘berpandangan jauh’.
“Menteri Pendidikan kita berpandangan jauh. Saya tidak faham mengapa ada yang mengkritik dia.
“Warna kasut dan stoking sebenarnya penting dalam perkembangan serta pembentukan pelajar yang sempurna,” katanya dalam status Facebook beliau, hari ini.
Sementara itu, netizen yang dikenali sebagai Zati Rahayu mempertikaikan kenyataan Maszlee itu kerana banyak lagi isu yang lebih besar perlu diselesaikan.
“Silibus anak-anak sekolah rendah yang patut dikaji dulu. Titik beratkan silibus pendidikan Islam, pasti banyak perkara boleh diselesaikan!,” katanya.
Maszlee dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Jabatan Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini berkata, isu mengenai warna stoking akan diputuskan Kementerian Pendidikan selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan selesai.
Sementara itu, Gelaran Nama Diberi mentertawakan sikap menteri kerajaan PH.
“Makin menjadi-menjadi menteri sekarang,” katanya.
Bagi Amri Omar pula, kerajaan sepatutnya melihat masalah sosial yang semakin teruk dalam kalangan murid sekolah.
“Berlambak gejala sosial di sekolah patut difikirkan, isu stoking jadi mangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment