Terra2

Thursday, 4 October 2018

‘Kematian Mereka Bermaruah. Jadilah Hebat Seperti Mereka’

Semalam kita semua dikejutkan dengan kehilangan enam orang anggota bomba ketika misi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong. Di Facebook, ramai yang menjadikan mereka ini contoh pejuang yang sanggup berkorban nyawa demi tugas.
Coretan sayu pesanan ibu buat anak ini mendapat lebih 1k share. Katanya, jadilah seperti mereka ini ikhlas dalam bekerja, bukan dengan keterpaksaan.

Mama mahu kamu jadi seperti mereka

“Mama mahu kamu jadi seperti mereka.”
“Jadi macam mana, mama?” Si kecil bertanya.
“Orang yang bekerja dengan sepenuh hati, amanah dalam pekerjaannya, sehingga jiwa dan raga dikorbankan.”
Keikhlasan dalam bekerja. Apa jua pekerjaan yang halal. Tak kisahlah kerja apa pun. Jadi cikgu, doktor, peguam, polis, ahli bomba, hatta kerja sapu sampah tepi jalan pun, lakukan dengan sepenuh hati. Bukan dengan keterpaksaan. Bukan kerana mahu mengisi perut lapar semata-mata hingga menjadi orang yang pentingkan diri sendiri. Bukannya tunggu gaji masuk tiap hujung bulan, tunggu cucuk saja, kerja pula banyak dihabiskan dengan main henfon dan berbual plus makan-makan.
“Mama, jadi seperti siapa?” Si kecil bertanya lagi.
Jadilah hebat seperti mereka yang telah pergi ini;

Jadilah hebat seperti mereka

Di luar negara,
Jadilah seperti Anthonius Gunawan Agung, 21 tahun, ketika bencana alam, pada ketika itu sedang menjalankan tugas sebagai salah seorang pegawai pengawal trafik udara di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufrie, Kota Palu. Tetap setia di menara kawalan yang akhirnya roboh hingga kapal terbang dengan ratusan orang di dalamnya berlepas dengan selamat. Terkorban setelah melompat keluar dari bangunan yang runtuh hingga cedera parah.
Jadilah seperti Saman Gunam yang terkorban ketika misi menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam Gua Thang Luam, Thai baru-baru ini.
Di dalam negara,
Jadilah seperti Cikgu Catherine Janet Tiwi, 25, sanggup menggadaikan nyawa menyelamatkan rakan serumahnya di Mulu, Sarawak, ketika api sedang marak terbakar. Akhirnya beliau terkorban.
Jadilah seperti malim gunung Kinabalu, Robbi Sapinggi yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan pendaki lain walaupun terkena runtuhan batu menyebabkan dia kehilangan banyak darah kerana cedera di bahagian kepala. Begitu juga dengan malim gunung Joseph Selungin yang terkorban selepas menjadikan dirinya sebagai perisai untuk menyelamatkan dua orang pendaki dari terkena batu-batu yang jatuh dari puncak gunung. Beliau bagaimanapun ditemui di bawah runtuhan batu dalam keadaan memeluk mereka menghalang batu-batu menghempap dua orang pendaki tetapi malangnya ketiga-tiga mereka tidak dapat diselamatkan.
Jadilah seperti warden dan guru Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Ustaz Mohd. Amirul Nizam Sakarno yang nekad meredah api demi menyelamatkan anak-anak muridnya sehingga mengorbankan nyawa. Begitu juga pengorbanan Ustaz Yusof yang setia bersama 22 anak-anak tahfiz hingga akhir nafasnya.
Jadilah seperti Cikgu Nurhayati Sulong sanggup bergadai nyawa berpatah balik ke rumahnya dalam keadaan banjir yang semakin buruk 2014 semata-mata untuk mengambil kertas peperiksaan SPM yang belum diselesaikan. Dalam perjalanan semula ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Geliga beliau maut bila bot yang dinaikinya terbalik dihanyutkan arus deras. Baru-baru ini, Cikgu Arrzahara Bt Affendi dari SK Awat-Awat, Lawas yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya semasa pulang dari pusat Peperiksaan di SJK CH Trusan.

Kematian mereka bermaruah

Yang terkini, jadilah seperti 6 ahli bomba terhebat, yang terkorban dalam misi menyelamatkan remaja yang tergelincir jatuh ke dalam lombong. Mufti telah mengatakan mereka ini syahid. Allahu. Moga Allah berikan mereka tempat tertinggi di Syurga-Nya nanti. Amin.
Keikhlasan itulah yang paling utama. Mereka-mereka ini disebut-sebut nama setelah tiada. Tidak seperti kita, yang tenggelam dalam dunia mencari populariti segera yang penuh iri dan saling menjatuhkan.
Kematian mereka bermaruah. Membanggakan dan memberi inspirasi kepada kita yang masih hidup.
Jika kita selusuri perjuangan para sahabat dan Nabi-nabi serta Rasul dalam agama kita, pasti kita akan lebih mengerti makna keikhlasan dan pengorbanan mereka untuk kita hari ini.
Teruskan berjuang dalam kehidupan kita. Jangan putus asa. Jangan buat kerja separuh jalan. Halangan sentiasa ada, tapi semangat mohon janganlah pudar segera. Yang tengah belajar, struggle sehingga capai yang terbaik. Yang tengah kerja, usaha biar kerja kita makin berkualiti. Yang sedang cari kerja, jangan give up, kuatkan lagi usaha.
Dunia adalah persinggahan, namun segalanya yang kita lakukan di dunia, itulah yang dijadikan bekalan di akhirat kelak.
Hiduplah untuk Allah.
Sekian.
Kredit tulisan: Bambikai
Sumber : Tun
The following two tabs change content below.

No comments:

Menteri agama & Islam dicaci hina, sekumpulan lelaki bertindak buat laporan polis

Di Malaysia ini kita hidup dalam masyarakat majmuk, justeru kita perlulah sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan dan perucapan supay...