Foto: facebook
KOTA BHARU, 24 Julai (Bernama) — Seorang lelaki rabit telinga kiri dan patah rahang apabila dibelasah penduduk kampung yang menangkapnya ketika sedang mencuri getah sekerap di Kampung Changgai dekat Bukit Yong, Pasir Puteh, semalam.
Difahamkan, suspek berusia 26 tahun itu ditangkap penduduk kampung kira-kira pukul 5.30 petang manakala seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Pok Din berjaya melarikan diri.
Sebaik ditangkap ada kalangan penduduk yang berang dengan perbuatan itu memukul suspek sehingga cedera sebelum menghubungi polis.
Seguni getah sekerap seberat 15 kilogram yang bernilai RM50 turut dijumpai bersama suspek.
Pasukan polis yang tiba di tempat kejadian kemudiannya menahan suspek bersama getah sekerap yang cuba dicuri itu.
Berdasarkan maklumat daripada penduduk, suspek mencuri getah sekerap itu di kawasan kebun getah milik sepupunya sendiri.
Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh sebelum dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini untuk rawatan selanjutnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh ASP Amran Mat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sumber: BERNAMA
No comments:
Post a Comment