NILAI - Seorang wanita dipercayai warga asing sanggup menggadai nyawa berada di tengah jalan raya persimpangan lampu isyarat selepas susur keluar Tol Nilai di sini, untuk meraih simpati dengan meminta sedekah sambil menjual tisu.
Tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 3 petang semalam mendapati, wanita berkenaan yang berkerudung labuh kelihatan memakai alat penyokong leher, seperti mahu memberi gambaran yang dia mempunyai masalah kesihatan.
Malah cahaya terik matahari petang langsung tidak menganggu wanita berkenaan untuk berjalan dari sebuah kereta ke kereta menjaja tisu paket yang dijualnya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan  sejak bila dia berada di situ, tapi riak wajahnya kelihatan sudah kepenatan.
Pemandangan sama turut dapat dilihat di persimpangan lampu isyarat di Taman AST di Seremban, dengan seorang wanita yang membawa imej sama.
Bagi orang ramai yang bersimpati, mereka akan menghulurkan wang kepada lelaki itu tanpa mengambil tisu yang dijual, namun ada yang tidak menghiraukannya apabila menyedari dia bukan rakyat tempatan.
Selain membahayakan nyawa sendiri, tindakan peminta sedekah itu turut menjejaskan keselamatan pengguna lain termasuk penunggang motosikal yang berkemungkinan tidak menyedari kehadiran mereka.
Sebaik menyedari aksinya 'memancing' dari sebuah kenderaan ke kenderaan lain dirakam  Sinar Harian, dia terus beredar dari situ.