SHAH ALAM - Majlis Profesor Negara (MPN) harus ditambah baik dan tidak perlu dibubarkan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.
Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar MPN berkata, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo menyifatkan pembubaran MPN diibaratkan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga atau kerana nyamuk seekor, habis kelambu dibakar.
“Hanya kerana beberapa orang profesor yang kurang beretika dan taksub untuk membantu kerajaan yang memerintah ketika itu, satu organisasi berinovasi terdiri daripada lebih 2,900 profesor (sarjana) negara terpaksa dikorbankan.
“Penubuhan MPN sekitar lapan tahun lalu mempunyai hasrat besar iaitu bagi mengembleng suara cerdik pandai bersama dalam satu pasukan membangun negara. Bukannya individu profesor tidak boleh menyumbang, tetapi secara bersama sebagai ‘pemikir negara’ hasilnya amat berkesan dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata, lebih lapan tahun profesor alam sekitar di bawah naungan MPN misalnya,  telah mengupas isu pembangunan lestari, kemerosotan kualiti alam sekitar, memperkasa warisan tabii, menjaga bekalan makan lautan, peningkatan bencana alam, dan potensi air tanah.
“Tentunya semua ini suatu yang berguna untuk masyarakat dan boleh dimanfaatkan kerajaan Pakatan Harapan. 
“Saya harap kerajaan mempertimbangkan semula keputusan  bubar MPN sebelum meneliti fakta dan sumbangan sebenarnya. Jika perlu cadangkan penambahbaikan atau perubahan yang boleh melonjak keupayaan dan peluang yang mampu dimainkan oleh institusi cerdik pandai ini supaya bersama membangunkan negara,” katanya.
Terdahulu, Mahathir mengumumkan beberapa agensi dan badan kerajaan akan dibubarkan sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan kewangan negara.