Masih mengekalkan imej bertudung ketika Ramadan, penyanyi Zizi Kirana turut memperbanyakkan ibadah di bulan mulia ini dengan memuat naik video mengalunkan selawat bersempena dengan hari Nuzul Al-Quran.
Namun apa yang menjadi perhatian adalah Zizi meluahkan rasa syukur dan tersentuh apabila menerima komen daripada peminat bukan Islam yang tertarik untuk memeluk agama Islam selepas mendengar alunan selawatnya itu.
“Ketika membaca komen itu, terus saya ucapkan Alhamdulillah dan Allahuakbar. Tak pernah saya terima komen sebegini dan sejujurnya, hati saya sangat tersentuh.
“Betapa besarnya kuasa Allah, siapa sangka lagu selawat yang saya sendiri rakamkan dengan hanya menggunakan telefon pintar dapat menyentuh dan membuka hati orang yang mendengar,” katanya kepada Harian Metro.
Turut berkongsikan komen peminat tersebut di Insta Story, Zizi berkata tindakannya itu bukan untuk membangga diri tetapi untuk memberitahu bahawa tindakannya itu memberi nilai besar buat orang lain.
“Saya kongsikan bukan kerana saya nak membangga diri atau apa, sebaliknya saya nak kongsikan dengan pengikut saya di Instagram bahawa ada benda yang kita rasakan kecil sebenarnya besar nilainya buat orang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Zaizi kagum dengan peminatnya itu yang menggunakan nama Daniel Pang kerana benar-benar menghayati alunan tersebut.
“Dia benar-benar menghayati setiap perkataan itu kerana dia kongsikan sekali bahagian minit ke berapa yang paling disukainya.
“Saya juga ada sertakan lirik dalam bahasa Melayu dan juga bertulisan rumi untuk memudahkan orang yang mendengar menyanyikan bersama,” katanya.
- SUMBER
- HARIAN METRO
No comments:
Post a Comment