Kuala Nerus : Lima beranak termasuk bayi berusia sembilan bulan maut manakala seorang lagi cedera parah dalam satu kemalangan di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus, awal hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 2.50 pagi itu, kereta Proton Wira dinaiki enam mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pokok.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Kharulinzam Jusoh, 38, isteri, Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, dan anak mereka, Nur Khaira Aisyah berusia sembilan bulan.
Kemalangan itu turut mengorbankan adik dan ibu kepada Nur Syaazlien, Muhammad Nashrullah, 5, dan Rozilawati Mustafa@Razali, 43.
Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kecuali Rozilawati yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Seorang lagi anak pasangan suami isteri itu, Muhammad Khairul Haziq, 5, parah dan masih dirawat di hospital yang sama.
Difahamkan, ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Durian Mas, Manir selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kota Bharu, Kelantan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Pegawai Bomba Tinggi Yusmizan Yusof ketika dihubungi berkata dua jentera dari BBP Kuala Nerus dan Kuala Terengganu bersama 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 3.01 pagi.
”Sebaik tiba di lokasi, seorang daripada mangsa berada di luar kenderaan manakala lima lagi masih tersepit. Kita mengambil masa kira 15 minit untuk mengeluarkan semua mangsa dengan dua mangsa yang parah dibawa ke hospital manakala empat lagi diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, seorang saksi, Muhammad Zul Ilha Jusoh, 25, berkata, dia segera keluar dari rumah selepas terdengar dentuman kuat akibat pelanggaran tersebut.
“Saya ingat baru berlanggar rupa-rupanya sudah hancur. Ada enam orang dalam kereta, bayi duduk atas riba penumpang hadapan dan masa itu saya dengar tangisan seorang budak di tempat duduk belakang. Kita angkat budak yang menangis itu keluar melalui tingkap,” katanya.
Sumber : Bernama
No comments:
Post a Comment