Seorang lelaki maut ditikam manakala seorang remaja lelaki cedera dipercayai akibat pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dekat Skudai, Ahad.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata kejadian pada 12.30 tengah hari itu berlaku selepas lelaki berumur 21 tahun dan remaja berumur 15 tahun bersama tiga lagi rakannya memasuki kawasan sekolah itu semasa berlangsung program karnival jualan amal, dan pergaduhan tercetus antara mereka dengan beberapa suspek di dalam dewan sekolah.
Beliau berkata pergaduhan itu tidak melibatkan pelajar sekolah berkenaan, namun salah seorang daripada suspek yang ditahan merupakan bekas pelajar sekolah itu.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk bedah siasat manakala yang cedera turut dirawat di hospital sama,” katanya dan menambah polis sedang mengesan senjata yang dipercayai pisau yang digunakan dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- Bernama
No comments:
Post a Comment