"Ibu tak nak kehilangan adik, ibu tak sedia lagi," demikian tulis Nurulnisa Ohtman di Facebooknya pada Sabtu lalu mengenai anaknya yang terlantar tak bermaya dalam keadaan darah tidak berhenti mengalir keluar dari mulut dan telinganya, lapor mStar Online.
Difahamkan, Muhamad Adam Ziqri Mohd Zaki mengalami demam panas dengan suhu 40'C dan terpaksa dibawa ke Hospital Muar pada hari raya kedua.
Menurut Nurulnisa, pada awalnya dia dan suami agak keberatan untuk pulang beraya di Pontian pada hari pertama berikutan keadaan anaknya yang sudah mula berdarah di bahagian telinga.
Namun mereka sekeluarga pulang ke kampung selepas Adam meluahkan hasarat untuk keluar berjalan-jalan.
"Demam 40'C ke atas. Telinga berdarah dan mulut berdarah. Kali ini Adam berkeras tak nak pergi ke hospital. Pujuk punya pujuk barulah dia nak.
"Raya pertama nak balik Pontian 50/50 sebab Adam dah start bleeding di telinga. Tiba-tiba Adam cakap nak jalan-jalan. Okey, ibu dan babah tawakal saja balik ke Pontian.
"Alhamdulillah dipermudahkan. Dua jam di rumah atok babah terus balik. Itupun ada atok sahaja sebab adik beradik babah yang lain dah pergi beraya.
"Raya kedua dah tak ke mana-mana, nak duduk di rumah saja. Jadi, ibu baringkan saja Adam di depan tv. Dapatlah lepas rindu kat rumah kejap ye dik.
"Jam 6 pagi pergi hospital, pergi ke Bahagian Kecemasan terus ke Bahagian Zon Merah. Adam memang tak kasi langsung lepas tangan. Selesai saja terus masuk wad.
"Di wad, cuba turunkan suhu demam Adam, masuk ubat bontot tetapi suhu badan tak turun juga.
"Pagi ini baru turun sikit, ini dah naik balik. Pendarahan di telinga dan mulut masih tak berhenti. Bila jumpa doktor pakar ngian ibu lagi sedih. Allahuakbar, semoga Adam sembuh. Ibu tak nak kehilangan adik, ibu tak sedia lagi," tulisnya.
Muhamad Adam Ziqri dipercayai menghidap penyakit jantung berlubang dan sindrom Myelodysplastic, penyakit yang menyebabkan pembentukan sel darah tidak matang secara sepenuhnya.
Keadaan itu juga menyebabkan Muhamad Adam Ziqri memerlukan platlet darah hampir setiap hari dan masih ditahan di wad berikutan keadaannya yang masih belum stabil sepenuhnya.
Justeru, Nurulnisa merayu orang ramai yang berdarah O membantu anaknya yang memerlukan jenis darah tersebut.
"Sesiapa yang berdarah O, tolonglah derma darah di Hospital Muar ini, amat memerlukan," tulisnya.
No comments:
Post a Comment