KUALA LUMPUR – Pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) adalah langkah perlu dan sama sekali bukan tindakan permusuhan atau tidak puas hati terhadap Singapura, yang berkongsi sejarah dan setiakawan dengan Malaysia sejak sekian lama, kata Penasihat Kanan, Institut Strategik dan Kepimpinan Asia, Dr Oh Ei Sun.
Sekarang ini adalah waktu ekonomi yang mencabar kepada kerajaan baharu Malaysia, yang disebabkan oleh pendedahan mengejutkan akan banyaknya hutang terselindung dan kewajipan sebelum ini.

“Dengan demikian, banyak projek awam bersaiz besar terpaksa ditangguhkan buat masa ini untuk memperketatkan perbelanjaan.
“Apabila ekonomi kedua-dua negara pulih semula nanti, banyak projek untuk faedah bersama akan dibentangkan semula,” katanya kepada Bernama News Channel melalui aplikasi WhatsApp dari Beijing, ketika diminta mengulas mengenai pembatalan projek HSR.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media pada Isnin, berkata Malaysia akan membatalkan projek HSR kerana ia tidak memberikan keuntungan kepada Malaysia.
Ditanya mengenai pampasan sebanyak RM500 juta yang Malaysia perlu bayar berikutan pembatalan projek itu, Dr Oh, yang merupakan penceramah, pakar motivasi, perunding dan usahawan yang dikenali, berkata: “Saya yakin hubungan baik yang dijalin sekian lama antara kedua-dua negara berjiran itu akan menentukan kaedah dan jumlah penyelesaian pembatalan itu diselesaikan dengan cara paling kreatif dan memuaskan hati bersama.
Hakikatnya katanya, “Malaysia seharusnya fokus untuk membangunkan rumah mampu milik pada masa ini supaya setiap rakyat berupaya memiliki bumbung untuk berteduh. Pada masa ini terdapat limpahan hartanah berharga tinggi.”
Menyuarakan pandangan yang sama dengan Dr Oh, Ketua Ekonomi IQI Global, Shan Saeed, berkata, pembatalan projek HSR adalah bukti bahawa Perdana Menteri mengutamakan rakyat.
“Pada penghujung hari, rakyat Malaysia adalah keutamaan. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berusaha menumpukan kepada kesejahteraan dan faedah ekonomi untuk rakyat.  
“Penurunan harga mungkin akan berlaku dengan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan. Kerajaan sedang memberi tumpuan untuk mengurangkan hutang sebanyak RM200 bilion dalam tempoh 100 hari untuk melaksanakan janji pilihan raya mereka.
Dikatakan sebagai pemangkin perubahan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, cadangan pembinaan HSR yang sepanjang 350 kilometer dapat mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur kepada 90 minit dengan kereta api, berbanding pada masa ini selama 11 jam.
Kedua-dua negara menandatangani perjanjian dua hala pada 2016, bagi membuka jalan pelaksanaan projek berkenaan, yang kali pertama dilancarkan pada Februari 2013 oleh Najib dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong.
Projek berkenaan, dianggarkan menelan kos antara RM50 bilion dan RM60 bilion, dijadualkan dimulakan pembinaannya pada tahun ini dan siap pada 2026. - Bernama