MELAKA – Bermula sekadar suka-suka, namun kini mempunyai pengikut mencecah ratusan ribu.
Itulah yang berlaku kepada Facebook Sultan Melaka Fans dan Sultan Melaka apabila berjaya menarik peminat menerusi troll dipaparkan dalam laman sosial berkenaan.
Boleh dikatakan setanding laman troll lain seperti Siakap Keli, Amran Fans dan Abdul Rani Kulop Fans, Facebook Sultan Melaka Fans dan Sultan Melaka tidak kurang hebatnya apabila kini mencecah hampir setengah juta Like walaupun baru tiga tahun diwujudkan.
Namun, tidak ramai mengetahui siapa di belakang tabir Facebook berkenaan yang sering memaparkan berita terkini, diselang seli unsur jenaka dan gurau senda.
Pemilik akaun Facebook berkenaan ialah Shahir Mohd Shah, 33, yang menubuhkan Sultan Melaka Fans pada 2014.
Shahir berkata, pada mulanya dia hanya sekadar suka-suka menghiburkan orang ramai di alam maya dan tidak terlintas langsung mendapat sambutan sehingga membolehkannya menjana pendapatan.
“Lawak kita bukan sembarangan tapi ada fakta.
“Lama-kelamaan, ramai bertanya terutama peniaga online mengenai perkhidmatan buat iklan. Dari situ, saya jadikan sekali laman ini untuk jana pendapatan,” katanya.
Menurutnya, laman itu dikendalikan 10 editor yang dilantik, terdiri daripada bloggers, akauntan, kontraktor, ahli perniagaan.
“Dua editor lagi dilantik uruskan iklan bagi memastikan setiap hari ada iklan yang disiarkan dan dibahagikan kepada dua sesi iaitu siang dan malam.
“Alhamdulillah, sekarang setiap hari ada iklan masuk sehingga adakala boleh cecah pendapatan RM10,000 sebulan,” katanya yang turut bergurau menggelar dirinya sebagai beta.
Pernah bekerja sebagai chef di sebuah hotel, Shahir berkata, dia sanggup meninggalkan kerjaya diceburi lebih 10 tahun itu untuk fokus kepada laman Facebook berkenaan termasuk menguruskan iklan.
Malah katanya, dia pernah ditawarkan RM40,000 oleh seseorang yang mahu membeli laman Facebook itu, namun dia menolaknya.
Shahir berkata, walaupun menyelitkan unsur gurauan, kumpulannya tetap berhati-hati menyiarkan sesuatu bahan troll untuk mengelak perkara sensitif.
Malah katanya, dia pernah kehilangan satu akaun Facebook lain yang mempunyai lebih 300,000 pengikut selepas ada pihak membuat aduan kepada Facebook.
Tagline ‘Beta is Better’ yang sinonim dengan Sultan Melaka Fans turut dijadikan jenama untuk produk pomade yang dijual salah seorang editor laman Facebook berkenaan.
“Sebelum ini, troll yang dilakukan sama ada mengenakan artis, ahli politik dan orang awam itu bersifat terbuka, tapi sekarang kita lebih berhati-hati menyiarkan sebarang lawak atau posting,” katanya.
Selain itu katanya, pihaknya juga turut membuat lintas langsung di beberapa lokasi percutian menarik untuk pengetahuan orang ramai.
“Mungkin orang lihat tindakan kami negatif atau keburukan laman ini, tapi saya tak ambil peduli setiap komen negatif itu.
“Ada juga yang minta kami bantu siarkan ahli keluarga hilang, hilang kenderaan, menularkan individu menipu atau maklumat bencana alam. Kami anggap ia sebagai khidmat komuniti kepada masyarakat,” katanya yang lebih senang tidak mendedahkan identiti kumpulan yang mengendalikan laman berkenaan.

No comments:
Post a Comment